zwani.com myspace graphic comments

Wednesday, 10 June 2015

Road To Ramdhan : 11 Fadhilatmu yang Sering Ku Lupakan



Dalam menyingkap tabir bulan penuh barakah, bulan harapan yang menyinari kegelapan hati-hati manusia. Seringkali kita terleka dan lupa untuk mengambil iktibar serta peluang untuk memanfaatkannya bagi meletakkan diri yang hina ini di satu kedudukan yang lebih hampir dengan Allah Rabbul Alamin.

Bukankah telah kita ketahui bahawa setiap amal anak adam itu miliknya kecuali ibadat puasa? Sesungguhnya puasa itu adalah bagi Allah dan Allah-lah yang berhak membalasnya.

Adakah telah kita lupa bahawa Dia lebih menyayangi kita melebihi dari kasih sayang seorang ibu buat anaknya?

Lalu mengapakah kita leka dan selalu bermalas-malasan dalam mengerjakan ibadah sedangkan ibadah itu manfaatnya bukan untuk Allah tapi untuk diri kita sendiri juga.

Sama-sama kita renungkan...

Jadi jom sekarang mari kita selami 24 kelebihan dalam mengerjakan ibadah puasa :D

1. Pujian Allah buatmu wahai mukmin yang berpuasa.

“ orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji (Allah), yang berpuasa (atau yang mengembara menuntut ilmu), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kejahatan dan yang menjaga ketetapan Allah. Maka berilah khabar gembira kepada orang yang beriman (dengan syurga).

( Al-Taubah ayat 112 )

2. Ibadah ini tiada bandingannya.

Dari Abi Umamah ra berkata:

“ Aku bertanya; Ya Rasulullah, perintahkanlah kepadaku suatu amalan yang memasukkan aku ke dalam syurga.

Jawab nabi saw: Hendaklah kamu puasa kerana puasa tiada bandingannya. “

( Riwayat al-Nasa’ie )

3. Ibadah ini Allah sandarkan pada-Nya.

Sabda nabi Muhammad ﷺ:

“ setiap amalan anak adam adalah untuknya kecuali ibadah puasa. Sesungguhnya puasa itu adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya. Puasa itu merupakan benteng. Apabila seseorang daripada kamu berpuasa , maka janganlah bercakap keji. 

Jika seseorang memakinya atau memeranginya katakanlah; Saya sedang berpuasa.

Demi jiwa Muhammad yang berada di tangan-Nya(kekuasaan-Nya), bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi. Bagi orang berpuasa ada 2 kegembiraan iaitu apabila dia berbuka, dia gembira dan apabila dia berjumpa Tuhannya, dia gembira dengan puasanya ( iaitu ganjaran puasa dari Allah ). “

( Riwayat Bukhari )

4. Diangkat darjat orang berpuasa.

Al-Hafiz al-Munawi dalam kitabnya Faidh al-Qadir menyebut tentang “ Akulah yang membalasnya “ dari hadis di atas :

“ Ia bermaksud sebagai satu isyarat akan besarnya ganjaran dan pahala kerana Yang Maha Mulia ( Allah ) apabila memberitahu akan memberi ganjaran, maka Dia memberi tanpa had yang menjadikan pemberiannya itu amat mulia. “

5. Puasa itu bersesuaian dengan sifat Allah yang Maha Kaya.

Imam al-Qurtubi berkata:

“ Sesungguhnya perbuatan hamba bersesuaian dengan keadaan mereka kecuali puasa. Ia bersesuaian dengan satu sifat  dari sifat-sifat Allah. Seolah-olahnya Dia berkata; Sesungguhnya puasa itu mendekatkan diri kepada-Ku dengan satu perkara yang berhubungkait dengan satu sifat daripada sifat-sifat-Ku. “

6. Puasa itu kaffarah(penghapus) kesalahan.

Nabi ﷺ bersabda:

“ Fitnah seorang lelaki pada ahli keluarganya, hartanya, jiwanya, dan jirannya di kaffarah dengan puasa, sedekah dan amal makruf nahi mungkar. “

( Riwayat Bukhari )

Nabi ﷺ bersabda:

“ Siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan Allah diampunkan baginya dosa yang terdahulu.

( Riwayat Bukhari )

7. Dimuliakan dengan selawat dari Allah dan malaikat.

Diriwayatkan Ibn Umar ra bahawa nabi ﷺ bersabda:

“ sesungguhnya Allah dan malaikatnya berselawat ke atas orang yang bersahur. “
( Riwayat Ibn Hibban )

8. Puasa itu benteng api neraka.

Diriwayatkan oleh Uthman bin Abi al-Ash ra bahawa nabi ﷺ bersabda:

“ Puasa adalah benteng dari azab Allah. “

( Riwayat Ahmad )

9. Puasa di musim panas ganjarannya minuman di Hari Dahaga( Hari Kiamat ).

Kata Abu Musa al-Asy’ari :

“ Sesunnguhnya Allah Taala menetapkan pada diri-Nya bahawa sesiapa yang dahaga (kerana puasa) pada musim panas maka Allah Taala akan memberi minum kepadanya pada hari di beri minuman (hari kiamat ). “

10. Puasa di musim sejuk akan dikurniakan harta yang tidak ternilai.

Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“ Puasa pada musim sejuk merupakan harta yang menyejukkan (tidak ternilai)."
( Riwayat Ahmad )

Al-Munawi berkata: Yang dimaksudkan adalah harta yang tidak diperolehi dengan cara bersusah-payah.

11. Syurga al-Rayyan memanggilmu wahai insan yang berpuasa.

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad bahawa nabi Muhammad ﷺ :

Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil ar-Rayyan yang mana orang yang berpuasa akan masuk darinya pada hari kiamat. Ianya tidak dimasuki oleh orang lain selain mereka.

Maka diseru: Mana orang yang berpuasa?  Maka mereka pun masuk .

Apabila yang terakhir (dari mereka) masuk, pintu itu ditutup sehingga tidak dimasuki oleh sesiapapun. “

-----------------------------------------------------------------------------

Puasa itu amalan mulia amalan hamba yang benar cintanya pada Sang Pencipta. Kedatangan bulan yang ditunggu makin menjelang tiba. Maka persiapkanlah dirimu wahan insan yang sering terlupa.

Moga ramadhan kali ini bukanlah ramadhan yang bakal engkau persiakan tapi moga ia adalah ramadhan yang bakal memadamkan dosa dan meletakkan dirimu di dalam syurga selamanya ...