Diriwayatkan
oleh At-Thabrani dari Abdullah bin Salaam r.a bahawa pada suatu hari Rasulullah
s.a.w keluar bersama sahabat-sahabat baginda, di antaranya Ali bin Abi Thalib
r.a.
Tiba-tiba
datang menemui beliau seorang Badwi dengan berkenderaan, lalu berkata; "Ya
Rasulullah. di kampung itu ada sekumpulan manusia yang sudah memeluk Agama
Islam dengan mengatakan bahawa jika memeluk Islam, mereka akan mendapat rahmat
dan rezeki dari Allah. Tetapi sesudah mereka semua peluk Islam, terjadilah
musim kering dan panas yang bersangatan sehingga mereka ditimpa bahaya
kelaparan.
Saya
khuatir ya Rasulullah jika mereka kembali kufur meninggalkan Islam kerana soal
perut, kerana mereka memeluk Islam juga adalah kerana soal perut. Saya ingin
agar kepada mereka engkau kirimkan bantuan untuk mengatasi bahaya kelaparan
yang menimpa mereka itu."
Mendengar
keterangan itu. Rasulullah s.a.w lalu memandang Ali bin Abu Thalib. Ali
mengerti maksud pandangan itu sambil berkata, "Ya Rasulullah, tidak ada
lagi bahan makanan pada kita."
Zaid
bin Sanah, seorang Pendita Yahudi yang turut mendengarkan laporan orang Badwi
dan jawapan Ali bin Abu Thalib lalu mendekatkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w
dan berkata, "Wahai Muhammad, kalau engkau suka, akan saya belikan kurma
yang baik lalu kurma itu dapat engkau beli padaku dengan hutang dan dengan
perjanjian begitu, begini."
Berkata
Rasulullah s.a.w, "Jangan dibeli kurma itu sekiranya kau berharap aku
berhutang kepadamu tetapi belilah kurma itu dan berilah kami pinjam dari
engkau."
"Baiklah."
jawab Zaid bin Sanah.
Zaid
bin Sanah pun membeli buah kurma yang baik-baik lalu menyerahkan kepada
Rasulullah s.a.w dengan perjanjian-perjanjian tertentu dan akan dibayar kembali
dalam jangka waktu yang tertentu pula. Sebaik saja Rasulullah s.a.w menerima
kurma itu, lalu diarahkan supaya buah kurma tersebut diserahkan dan
dibahagi-bahagikan kepada penduduk kampung yang ditimpa bencana itu.
Berkata
Zaid bin Sanah, "Dua atau tiga hari sebelum tiba tempoh perjanjian
pengembalian pinjaman seperti yang ditetapkan dalam perjanjian itu, Rasulullah
s.a.w keluar menziarahi orang mati bersama Abu Bakar, Umar, Usman dan beberapa
orang sahabat yang lain.
Setelah
selesai menyembahyangkan jenazah tersebut, Rasulullah s.a.w pergi ke suatu
sudut untuk duduk lalu saya menghampirinya dengan memegang erat-erat bajunya
dan berkata kepadanya dengan sekasar-kasarnya. "Hai Muhammad, bayar
hutangmu kepadaku, aku tahu bahawa seluruh keluarga Abdul Mutalib itu selalu
melengah-lengahkan masa untuk membayar hutang!"
Mendengar
kata-kataku yang kasar itu, saya lihat wajah Umar bin Khattab merah padam
kemarahannya, lalu berkata, "Hai musuh Allah, engkau berkata begitu kasar
terhadap Rasulullah dan berbuat tidak sopan. Demi kalau tidak kerana rasa
hormatku terhadap Rasulullah s.a.w yang berada di sini, sungguh tentu akan ku
potong lehermu dengan pedangku ini."
Rasulullah
memandang kepadaku dalam keadaan tenang dan biasa saja, lalu berkata kepada
Umar, "Hai Umar, antara saya dengan dia ada urusan hutang piutang yang
belum selesai. Sebaik-baiknya engkau menyuruh aku membayar hutang itu dan
menganjurkan kepadanya untuk berlaku baik menuntut hutangnya. Hai Umar,
pergilah bersama dia ke tempat penyimpanan kurma, bayarlah hutang itu kepadanya
dan tambahlah 20 gantang sebagai hadiah untuk menghilangkan rasa
marahnya."
Setelah
Umar membayar hutang itu dengan tambahan tersebut, lalu Zaid bin Sanah pun
bertanya kepada Umar, "Kenapa ditambah hai Umar?" Berkata Umar,
"Diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w tambahan ini sebagai imbangan
kemarahan engkau."
"Hai
Umar, kenalkah engkau siapa aku?" Tanya Zaid bin Sanah. "Tidak."
Jawab Umar.
"Akulah
Pendita Zaid bin Sanah."
"Engkau
ini Pendita Zaid bin Sanah?" Tanya Umar agak terkejut. "Ya."
Jawab Zaid bin Sanah ringkas.
"Kenapa
engkau berlaku demikian rupa terhadap Rasulullah s.a.w? Engkau berlaku begitu
kasar dan begitu menghina?" Tanya Umar lagi.
Zaid
bin Sanah menjawab, "Hai Umar, segala tanda kenabian
yang aku dapati dalam kitab Taurat sudah aku temui pada diri Rasulullah itu. Selain
dua perkara yang aku sembunyikan dan tidak aku sampaikan kepada Rasulullah
iaitu bahawa perasaan santunnya selalu mengalahkan perasaan marahnya. Makin
marah orang kepadanya, makin bertambah rasa kasih sayangnya terhadap orang yang
marah itu.
Dengan
kejadian itu hai Umar yang sengaja diatur, aku sudah tahu dan lihat sendiri
kedua sifat itu terdapat pada diri Muhammad itu. Aku bersumpah di depanmu hai
Umar, bahawa aku sungguh-sungguh suka dan redha dengan Allah sebagai Tuhanku,
Islam sebagai agamaku dan Muhammad sebagai nabi dan ikutanku."
Umar
dan Zaid bin Sanah pun kembali mendapatkan Rasulullah s.a.w. Sebaik saja
berhadapan dengan Rasulullah s.a.w, lalu berkata Zaid bin Sanah, "Aku
bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bersaksi bahawa Muhammad
adalah hamba Allah dan rasulNya."
Zaid
bin Sanah turut berjuang dan bertempur bersama Rasulullah s.a.w dan kaum
muslimin hampir di setiap medan perang dan akhirnya mati syahid di medan Perang
Tabuk.
Demikianlah
caranya bagaimana Zaid bin Sanah, seorang Pendita Yahudi menganut Agama Islam ,
beriman dengan Rasulullah s.a.w dan bersumpah akan membela Islam sehingga akhir
hayatnya. SubhanAllah .......
No comments:
Post a Comment