Abu Nuaim
melaporkan dari Abu Rafa’, Rasulullah ﷺ berkata,
“Wahai Abu
Rafa’, bagaimana sekiranya kamu ditakdirkan dalam keadaan miskin?”
Lalu
ditanya oleh Abu Rafa’,
“Apakah aku
tidak dapat bersedekah pada waktu itu?”
“Benar.
Berapakah wang yang kamu miliki sekarang?” tanya Rasulullah ﷺ.
“40 ribu
dirham. Semuanya milik Allah.” Jawab Abu Rafa’.
Kemudian
Rasulullah ﷺ berkata,
“Tidak,
berikan sebahagian daripadanya dan simpan sebahagian lagi serta berbuat baik
kepada anak kamu.”
“Wahai
Rasulullah ﷺ, apakah itu termasuk hak mereka ke atas kami sebagaimana hak kami
ke atas mereka?”
“Benar, hak
anak kepada orang tua adalah mendapat pengajaran al-Quran, memanah dan
berenang.” Balas Rasulullah ﷺ.
Lalu
ditanya Abu Rafa’,
“Bila aku
akan miskin, wahai Rasulullah?”
Baginda ﷺ
menjawab,
“Selepas
aku.”
Abu Sulaim
berkata bahawa beliau melihat Abu Rafa’ menjadi miskin selepas Rasulullah ﷺ
meninggal dunia sehingga beliau duduk di suatu tempat lalu berkata,
“Siapakah
orang yang mahu memberi sedekah kepada lelaki yang diberitahu oleh Rasulullah ﷺ
dia menjadi miskin selepas Baginda ﷺ meninggal dunia? Siapakah yang akan
memberi sedekah? Ini kerana tangan Allah berada di atas, tangan orang yang
memberi berada di tengah dan tangan orang yang meminta berada di bawah. Tidak
halal memberi sedekah kepada orang yang mampu, kuat dan memiliki anggota badan
yang sihat.”
Abu Sulaim
berkata lagi, beliau melihat seorang lelaki memberi wang sebanyak 40 dirham
kepada Abu Rafa’. Namun, beliau mengembalikan satu dirham. Lelaki itu berkata,
“Wahai
hamba Allah, apakah kamu tidak menginginkan sedekah aku?”
Lalu Abu
Rafa’ menjawab,
“Rasulullah
ﷺ melarang aku menyimpan wang yang lebih.”
Petikan: Buku Selembut Hati Rasulullah karya Miftahul Asror Malik