At-Tabrani
melaporkan hadis daripada Abu Umamah, pada suatu hari Rasulullah ﷺ mengatakan,
“Bersiap-siaplah
kamu bagi menuju ke Khaibar. Penduduknya melakukan kezaliman. Sesungguhnya
Allah akan menaklukkan mereka kepada kamu semua, in shaa Allah.”
Kemudian,
Abu Hurairah berkata kepada ibu beliau,
“Tolong
persiapkan semua peralatan aku. Ini kerana, Rasulullah memberi perintah untuk
pergi berperang.”
“Apakah
kamu akan pergi berperang dan meninggalkan aku sendirian, sedangkan kamu tahu,
aku tidak mempunyai sesiapa selain daripada diri kamu?”
Jawab ibu
Abu Hurairah kepadanya dengan pandangan yang mendalam.
“Aku tidak
pernah menentang perintah Rasulullah.” Abu Hurairah memberi alasan.
Lalu, ibu
Abu Hurairah bersumpah demi air susu yang diberikannya dan pergi menemui
Rasulullah ﷺ secara sembunyi-sembunyi dan menceritakan perihal anaknya.
Pada suatu
hari ketika Abu Hurairah datang kepada Rasulullah ﷺ, Baginda ﷺ berpaling
daripadanya. Melihat keanehan sikap Rasulullah ﷺ itu Abu Hurairah bertanya,
“Wahai
Rasulullah, aku lihat Tuan berpaling daripada aku. Sedangkan aku tidak pernah
lihat Tuan melakukan hal sebegini , kecuali ada sesuatu yang tidak kena sampai
kepada Tuan.”
Kemudian
Rasulullah ﷺ memberi penjelasan,
“Sesungguhnya
ibu kamu mengambil sumpah daripada kamu. Dia bersumpah daripada kamu demi air
susu yang sudah disusuinya. Apakah seorang daripada kamu menyangka, ketika dia
bersama-sama kedua-dua orang tuanya ataupun seorang daripadanya, dia tidak
berjihad di jalan Allah?”
Abu
Hurairah berkata,
“Selepas
kejadian itu, aku menemani ibu aku selama dua tahun dan tidak ikut berperang.
Selepas ibu aku meninggal, aku kembali menyertai perang.”
No comments:
Post a Comment