zwani.com myspace graphic comments

Wednesday 8 July 2015

Selembut Hati Rasulullah ﷺ siri 6


Abu Ya’la melaporkan daripada anas, ketika Rasulullah ﷺ berbicara dengan Ubai bin Khalaf, tiba-tiba Ibnu Umi Maktum datang kepada Baginda ﷺ. Lalu Baginda ﷺ berpaling daripada beliau.
               
Disebabkan perkara itu Allah SWT menurunkan ayat 1 dan 2 surah Abasa,

“ Dia memasamkan muka dan berpaling. Kerana dia didatangi orang buta.”


Selepas ayat itu diturunkan, Rasulullah ﷺ memuliakan ibnu Umi Maktum walaupun dia seorang buta.

- Muliakanlah insan meskipun dia punya kekurangan. Mungkin apa yang terlihat itu kekurangan di mata manusia tapi sebenarnya itu lah tiket untuknya mendapat rahmat Allah sehingga Allah mengurniakannya tempat di dalam syurga-Nya.

Tuesday 7 July 2015

Selembut Hati Rasulullah ﷺ siri 5


Abu Nuaim melaporkan dari Abu Rafa’, Rasulullah ﷺ berkata,
               
“Wahai Abu Rafa’, bagaimana sekiranya kamu ditakdirkan dalam keadaan miskin?”

Lalu ditanya oleh Abu Rafa’,

“Apakah aku tidak dapat bersedekah pada waktu itu?”

“Benar. Berapakah wang yang kamu miliki sekarang?” tanya Rasulullah ﷺ.

“40 ribu dirham. Semuanya milik Allah.” Jawab Abu Rafa’.

Kemudian Rasulullah ﷺ berkata,

“Tidak, berikan sebahagian daripadanya dan simpan sebahagian lagi serta berbuat baik kepada anak kamu.”

“Wahai Rasulullah ﷺ, apakah itu termasuk hak mereka ke atas kami sebagaimana hak kami ke atas mereka?”

“Benar, hak anak kepada orang tua adalah mendapat pengajaran al-Quran, memanah dan berenang.” Balas Rasulullah ﷺ.

Lalu ditanya Abu Rafa’,

“Bila aku akan miskin, wahai Rasulullah?”

Baginda ﷺ menjawab,

“Selepas aku.”

Abu Sulaim berkata bahawa beliau melihat Abu Rafa’ menjadi miskin selepas Rasulullah ﷺ meninggal dunia sehingga beliau duduk di suatu tempat lalu berkata,

“Siapakah orang yang mahu memberi sedekah kepada lelaki yang diberitahu oleh Rasulullah ﷺ dia menjadi miskin selepas Baginda ﷺ meninggal dunia? Siapakah yang akan memberi sedekah? Ini kerana tangan Allah berada di atas, tangan orang yang memberi berada di tengah dan tangan orang yang meminta berada di bawah. Tidak halal memberi sedekah kepada orang yang mampu, kuat dan memiliki anggota badan yang sihat.”

Abu Sulaim berkata lagi, beliau melihat seorang lelaki memberi wang sebanyak 40 dirham kepada Abu Rafa’. Namun, beliau mengembalikan satu dirham. Lelaki itu berkata,

“Wahai hamba Allah, apakah kamu tidak menginginkan sedekah aku?”

Lalu Abu Rafa’ menjawab,

“Rasulullah ﷺ melarang aku menyimpan wang yang lebih.”


Petikan: Buku Selembut Hati Rasulullah karya Miftahul Asror Malik

Sunday 5 July 2015

Selembut Hati Rasulullah ﷺ siri 4


Imam Abu Daud melaporkan dari Jabir,

Seorang wanita Yahudi iaitu penduduk Khaibar meletakkan racun pada daging kambing. Lalu, dia memberikan daging beracun itu kepada Rasulullah ﷺ. Baginda ﷺ kemudian mengambil kaki kambing lalu memakannya. Sebahagian dari sahabat juga makan bersama Rasulullah ﷺ. Ketika mengetahui daging itu beracun, Baginda ﷺ berkata pada sahabat-sahabatnya,

“Jatuhkan tangan kamu semua daripada daging itu.”

Kemudian, Baginda ﷺ  mengirimkan utusan bagi mengundang wanita itu. Selepas wanita itu datang, Rasulullah ﷺ bertanya kepadanya,

“Apakah kamu meletakkan racun pada daging ini?”

“Siapakah yang memberitahu kamu?” Balas wanita itu.

“Daging di tangan aku ini yang memberitahu aku.” Rasulullah ﷺ menjawab.

“Benar.” Kata wanita itu.”

“Mengapa kamu melakukan sebegitu?” tanya Rasulullah ﷺ.

“Sekiranya kamu seorang nabi, hal ini tidak akan membahayakan kamu. Namun, sekiranya kamu bukan seorang nabi, kami selamat daripada kamu.” Jawab wanita yahudi itu tanpa rasa bersalah.

Rasulullah ﷺ mengampuni wanita itu dan tidak memberi hukuman padanya sedangkan sebahagian daripada sahabat yang makan daging itu meninggal dunia. Baginda ﷺ juga berbekam di bahagian belakang badan bagi mengeluarkan racun daging kambing yang dimakan.

Dalam satu riwayat lain dikatakan urat al-abhar iaitu urat yang tergantung pada jantung Baginda ﷺ putus kerana racun itu.


Saturday 4 July 2015

Selembut Hati Rasulullah ﷺ siri 3



At-Tabrani melaporkan hadis daripada Abu Umamah, pada suatu hari Rasulullah ﷺ mengatakan,

“Bersiap-siaplah kamu bagi menuju ke Khaibar. Penduduknya melakukan kezaliman. Sesungguhnya Allah akan menaklukkan mereka kepada kamu semua, in shaa Allah.”

Kemudian, Abu Hurairah berkata kepada ibu beliau,

“Tolong persiapkan semua peralatan aku. Ini kerana, Rasulullah memberi perintah untuk pergi berperang.”

“Apakah kamu akan pergi berperang dan meninggalkan aku sendirian, sedangkan kamu tahu, aku tidak mempunyai sesiapa selain daripada diri kamu?”

Jawab ibu Abu Hurairah kepadanya dengan pandangan yang mendalam.

“Aku tidak pernah menentang perintah Rasulullah.” Abu Hurairah memberi alasan.

Lalu, ibu Abu Hurairah bersumpah demi air susu yang diberikannya dan pergi menemui Rasulullah ﷺ secara sembunyi-sembunyi dan menceritakan perihal anaknya.

Pada suatu hari ketika Abu Hurairah datang kepada Rasulullah ﷺ, Baginda ﷺ berpaling daripadanya. Melihat keanehan sikap Rasulullah ﷺ itu Abu Hurairah bertanya,

“Wahai Rasulullah, aku lihat Tuan berpaling daripada aku. Sedangkan aku tidak pernah lihat Tuan melakukan hal sebegini , kecuali ada sesuatu yang tidak kena sampai kepada Tuan.”

Kemudian Rasulullah ﷺ memberi penjelasan,

“Sesungguhnya ibu kamu mengambil sumpah daripada kamu. Dia bersumpah daripada kamu demi air susu yang sudah disusuinya. Apakah seorang daripada kamu menyangka, ketika dia bersama-sama kedua-dua orang tuanya ataupun seorang daripadanya, dia tidak berjihad di jalan Allah?”

Abu Hurairah berkata,


“Selepas kejadian itu, aku menemani ibu aku selama dua tahun dan tidak ikut berperang. Selepas ibu aku meninggal, aku kembali menyertai perang.”

Friday 3 July 2015

Selembut Hati Rasulullah ﷺ siri 2



At-Tabrani menceritakan kepada kita ketika Rasulullah ﷺ sedang berjalan-jalan bersama-sama para sahabat dan pada waktu itu matahari bersinar dengan terik, mereka menutupi Baginda dengan pakaian. Ketika melihat bayangan pakaian yang menutupi Baginda, Nabi Muhammad ﷺ menegaskan,

“Jangan kamu melakukan sebegini.”

Lalu Rasulullah ﷺ mengambil dan meletakkan pakaian itu. Baginda mengatakan,

“Sesungguhnya aku adalah manusia seperti kamu.”

Imam Al-Bukhari merekodkan sebuah hadith daripada Saidina Umar bin Al-Khattab ra bahawa Rasulullah ﷺ menjelaskan,

“Jangan kamu memuji dan memuja aku berlebih-lebihan seperti orang Nasrani melakukan hal sebegitu kepada putera Maryam. Aku ini adalah hamba juga. Katakan kepada aku, hamba Allah dan Rasul-Nya.”

Dalam laporan lain menceritakan, pada suatu hari Rasulullah ﷺ melihat seorang lelaki bercerita perihal kehebatan diri Baginda lalu, Rasulullah ﷺ pergi kepada lelaki itu dan berkata kepadanya,

“Hinalah diri kamu! Aku adalah seorang anak yang dilahirkan oleh seorang wanita yang makan daging dari Makkah.”

Petikan: Buku Selembut Hati Rasulullah karya Miftahul Asror Malik


Selembut hati Rasulullah ﷺ siri 1



Hadis ini dilaporkan oleh At-Tabrani dan Al-Baihaqi. Dari Ibnu Abbas meriwayatkan:

Pada suatu hari, Rasulullah ﷺ dan malaikat Jibril as sedang duduk di atas batu karang. Rasulullah ﷺ berkata pada Jibril as,

“Wahai Jibril, demi Zat yang mengutus kamu dengan kebenaran, keluarga Muhammad akan bermalam tanpa tepung dan gandum.”

Tidak lama selepas Rasulullah ﷺ menyatakan perkara itu, tiba-tiba guruh berdentum di langit sehingga mengejutkan Baginda ﷺ. Lalu Baginda ﷺ berkata,

“Adakah Allah memerintahkan berlakunya hari kiamat?”

Malaikat Jibril as menjawab,

“Tidak, tetapi Allah memerintahkan malaikat Israfil supaya turun ketika mendengar percakapan kamu sebentar tadi.”

Malaikat Israfil as datang pada nabi Muhammad ﷺ dan berkata,

“ Sesungguhnya Allah mendengar apa yang engkau katakan. Dia mengutus aku supaya membawa kunci harta simpanan bumi. Dia juga memerintahkan aku bagi memperlihatkan kepada engkau zamrud, yakut, emas dan gunung perak. Makkah dapat berjalan bersama-sama kamu. Lalu, apakah engkau ingin menjadi seorang nabi dan raja ataupun nabi dan hamba?”

Malaikat Jibril as memberi isyarat kepada nabi Muhammad ﷺ supaya merendah diri. Baginda ﷺ menjawab,

“Aku memilih bagi menjadi seorang nabi dan hamba.”

Rasulullah ﷺ memberitahu,

“Sekiranya aku katakan kepadanya, aku ingin menjadi nabi dan raja, gunung-ganang itu pasti menjadi emas untuk aku.”

Petikan: Buku Selembut Hati Rasulullah karya Miftahul Asror Malik

Wednesday 10 June 2015

Road To Ramdhan : 11 Fadhilatmu yang Sering Ku Lupakan



Dalam menyingkap tabir bulan penuh barakah, bulan harapan yang menyinari kegelapan hati-hati manusia. Seringkali kita terleka dan lupa untuk mengambil iktibar serta peluang untuk memanfaatkannya bagi meletakkan diri yang hina ini di satu kedudukan yang lebih hampir dengan Allah Rabbul Alamin.

Bukankah telah kita ketahui bahawa setiap amal anak adam itu miliknya kecuali ibadat puasa? Sesungguhnya puasa itu adalah bagi Allah dan Allah-lah yang berhak membalasnya.

Adakah telah kita lupa bahawa Dia lebih menyayangi kita melebihi dari kasih sayang seorang ibu buat anaknya?

Lalu mengapakah kita leka dan selalu bermalas-malasan dalam mengerjakan ibadah sedangkan ibadah itu manfaatnya bukan untuk Allah tapi untuk diri kita sendiri juga.

Sama-sama kita renungkan...

Jadi jom sekarang mari kita selami 24 kelebihan dalam mengerjakan ibadah puasa :D

1. Pujian Allah buatmu wahai mukmin yang berpuasa.

“ orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji (Allah), yang berpuasa (atau yang mengembara menuntut ilmu), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kejahatan dan yang menjaga ketetapan Allah. Maka berilah khabar gembira kepada orang yang beriman (dengan syurga).

( Al-Taubah ayat 112 )

2. Ibadah ini tiada bandingannya.

Dari Abi Umamah ra berkata:

“ Aku bertanya; Ya Rasulullah, perintahkanlah kepadaku suatu amalan yang memasukkan aku ke dalam syurga.

Jawab nabi saw: Hendaklah kamu puasa kerana puasa tiada bandingannya. “

( Riwayat al-Nasa’ie )

3. Ibadah ini Allah sandarkan pada-Nya.

Sabda nabi Muhammad ﷺ:

“ setiap amalan anak adam adalah untuknya kecuali ibadah puasa. Sesungguhnya puasa itu adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya. Puasa itu merupakan benteng. Apabila seseorang daripada kamu berpuasa , maka janganlah bercakap keji. 

Jika seseorang memakinya atau memeranginya katakanlah; Saya sedang berpuasa.

Demi jiwa Muhammad yang berada di tangan-Nya(kekuasaan-Nya), bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi. Bagi orang berpuasa ada 2 kegembiraan iaitu apabila dia berbuka, dia gembira dan apabila dia berjumpa Tuhannya, dia gembira dengan puasanya ( iaitu ganjaran puasa dari Allah ). “

( Riwayat Bukhari )

4. Diangkat darjat orang berpuasa.

Al-Hafiz al-Munawi dalam kitabnya Faidh al-Qadir menyebut tentang “ Akulah yang membalasnya “ dari hadis di atas :

“ Ia bermaksud sebagai satu isyarat akan besarnya ganjaran dan pahala kerana Yang Maha Mulia ( Allah ) apabila memberitahu akan memberi ganjaran, maka Dia memberi tanpa had yang menjadikan pemberiannya itu amat mulia. “

5. Puasa itu bersesuaian dengan sifat Allah yang Maha Kaya.

Imam al-Qurtubi berkata:

“ Sesungguhnya perbuatan hamba bersesuaian dengan keadaan mereka kecuali puasa. Ia bersesuaian dengan satu sifat  dari sifat-sifat Allah. Seolah-olahnya Dia berkata; Sesungguhnya puasa itu mendekatkan diri kepada-Ku dengan satu perkara yang berhubungkait dengan satu sifat daripada sifat-sifat-Ku. “

6. Puasa itu kaffarah(penghapus) kesalahan.

Nabi ﷺ bersabda:

“ Fitnah seorang lelaki pada ahli keluarganya, hartanya, jiwanya, dan jirannya di kaffarah dengan puasa, sedekah dan amal makruf nahi mungkar. “

( Riwayat Bukhari )

Nabi ﷺ bersabda:

“ Siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan Allah diampunkan baginya dosa yang terdahulu.

( Riwayat Bukhari )

7. Dimuliakan dengan selawat dari Allah dan malaikat.

Diriwayatkan Ibn Umar ra bahawa nabi ﷺ bersabda:

“ sesungguhnya Allah dan malaikatnya berselawat ke atas orang yang bersahur. “
( Riwayat Ibn Hibban )

8. Puasa itu benteng api neraka.

Diriwayatkan oleh Uthman bin Abi al-Ash ra bahawa nabi ﷺ bersabda:

“ Puasa adalah benteng dari azab Allah. “

( Riwayat Ahmad )

9. Puasa di musim panas ganjarannya minuman di Hari Dahaga( Hari Kiamat ).

Kata Abu Musa al-Asy’ari :

“ Sesunnguhnya Allah Taala menetapkan pada diri-Nya bahawa sesiapa yang dahaga (kerana puasa) pada musim panas maka Allah Taala akan memberi minum kepadanya pada hari di beri minuman (hari kiamat ). “

10. Puasa di musim sejuk akan dikurniakan harta yang tidak ternilai.

Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“ Puasa pada musim sejuk merupakan harta yang menyejukkan (tidak ternilai)."
( Riwayat Ahmad )

Al-Munawi berkata: Yang dimaksudkan adalah harta yang tidak diperolehi dengan cara bersusah-payah.

11. Syurga al-Rayyan memanggilmu wahai insan yang berpuasa.

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad bahawa nabi Muhammad ﷺ :

Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil ar-Rayyan yang mana orang yang berpuasa akan masuk darinya pada hari kiamat. Ianya tidak dimasuki oleh orang lain selain mereka.

Maka diseru: Mana orang yang berpuasa?  Maka mereka pun masuk .

Apabila yang terakhir (dari mereka) masuk, pintu itu ditutup sehingga tidak dimasuki oleh sesiapapun. “

-----------------------------------------------------------------------------

Puasa itu amalan mulia amalan hamba yang benar cintanya pada Sang Pencipta. Kedatangan bulan yang ditunggu makin menjelang tiba. Maka persiapkanlah dirimu wahan insan yang sering terlupa.

Moga ramadhan kali ini bukanlah ramadhan yang bakal engkau persiakan tapi moga ia adalah ramadhan yang bakal memadamkan dosa dan meletakkan dirimu di dalam syurga selamanya ...