zwani.com myspace graphic comments

Tuesday 7 July 2015

Selembut Hati Rasulullah ﷺ siri 5


Abu Nuaim melaporkan dari Abu Rafa’, Rasulullah ﷺ berkata,
               
“Wahai Abu Rafa’, bagaimana sekiranya kamu ditakdirkan dalam keadaan miskin?”

Lalu ditanya oleh Abu Rafa’,

“Apakah aku tidak dapat bersedekah pada waktu itu?”

“Benar. Berapakah wang yang kamu miliki sekarang?” tanya Rasulullah ﷺ.

“40 ribu dirham. Semuanya milik Allah.” Jawab Abu Rafa’.

Kemudian Rasulullah ﷺ berkata,

“Tidak, berikan sebahagian daripadanya dan simpan sebahagian lagi serta berbuat baik kepada anak kamu.”

“Wahai Rasulullah ﷺ, apakah itu termasuk hak mereka ke atas kami sebagaimana hak kami ke atas mereka?”

“Benar, hak anak kepada orang tua adalah mendapat pengajaran al-Quran, memanah dan berenang.” Balas Rasulullah ﷺ.

Lalu ditanya Abu Rafa’,

“Bila aku akan miskin, wahai Rasulullah?”

Baginda ﷺ menjawab,

“Selepas aku.”

Abu Sulaim berkata bahawa beliau melihat Abu Rafa’ menjadi miskin selepas Rasulullah ﷺ meninggal dunia sehingga beliau duduk di suatu tempat lalu berkata,

“Siapakah orang yang mahu memberi sedekah kepada lelaki yang diberitahu oleh Rasulullah ﷺ dia menjadi miskin selepas Baginda ﷺ meninggal dunia? Siapakah yang akan memberi sedekah? Ini kerana tangan Allah berada di atas, tangan orang yang memberi berada di tengah dan tangan orang yang meminta berada di bawah. Tidak halal memberi sedekah kepada orang yang mampu, kuat dan memiliki anggota badan yang sihat.”

Abu Sulaim berkata lagi, beliau melihat seorang lelaki memberi wang sebanyak 40 dirham kepada Abu Rafa’. Namun, beliau mengembalikan satu dirham. Lelaki itu berkata,

“Wahai hamba Allah, apakah kamu tidak menginginkan sedekah aku?”

Lalu Abu Rafa’ menjawab,

“Rasulullah ﷺ melarang aku menyimpan wang yang lebih.”


Petikan: Buku Selembut Hati Rasulullah karya Miftahul Asror Malik

1 comment: