zwani.com myspace graphic comments

Monday 27 April 2015

Road To Ramadhan: Perkiraan Hisab Falak Moden



Bismillah. In shaa Allah kali ni nak sentuh serba sedikit tentang perkiraan hisab falak moden. Ini adalah ringkasan dari ensiklopedia Ramadhan. Moga bermanfaat.

Penetapan sesuatu tarikh seperti bila bermulanya bulan Ramadhan adalah sesuatu yang sangat penting bagi memastikan keseragaman dan kesatuan dalam ummah ini. Meskipun perkara ini kelihatan kecil namun jika dalam skala yang besar, ketidakseragaman yang timbul secara tidak langsung mampu menimbulkan perpecahan.

Atas dasar ini, kebanyakan ulamak era kini lebih bersedia untuk menggunakan perkiraan hisab bagi menetapkan suatu tarikh dan tidak hanya bergantung pada ‘melihat’ anak bulan sahaja.

Menurut Imam Taqiyuddin as-Subki dalam fatwanya:

“ Ilmu hisab menafikan kemungkinan dilihat anak bulan itu dengan pancaindera(mata). Dalam masalah ini, seorang qadi boleh menolak saksi yang telah menyaksikan anak bulan kerana penyaksian adalah bersifat zanni. Ini kerana penggunaan ilmu hisab adalah bersifat yakin(pasti) manakala penyaksian dari seseorang adalah bersifat sangkaan. Kemungkinan juga penyaksian itu berlaku penipuan. Maka, mestilah perkara yang diyakini(qat’ie) itu didahulukan dan diambil kira untuk menentukan anak bulan Ramadha dan lain-lain ialah dengan perkiraan falak. “
( Fatawa as-Subki 1/219-220 )

Memetik kata-kata Syeikh Muhaddith Ahmad Syakir, beliau menyebut bahawa :

“ Perkiraan dengan melihat anak bulan itu untuk golongan ummi (iaitu) golongan yang tidak tahu membaca dan menghitung. Apabila keadaan umat islam telah banyak berubah, yang mana mereka telah tahu membaca dan menulis dan mereka tidak lagi bergantung kepada golongan bukan islam, maka hendaklah digunakan perkiraan hisab bukan dengan melihat anak bulan. Ini kerana ia merupakan jalan yang terbaik dan lebih utama dan lebih dekat untuk penyatuan umat islam. “

Hal ini berdasarkan hadis nabi saw:

“ sesungguhnya kami adalah kaum yang ummi( tidak tahu membaca dan menulis ), kami tidak tahu menulis dan menghitung akan sesuatu bulan itu dan ini iaitu sama ada 29 hari atau 30 hari. “
( riwayat Bukhari dan Muslim )

Pandangan ini telah diterima oleh syeikh Yusuf Al-Qaradawi, Syeikh Ahmad Syakir dan Syeikh Rashid Redha. Bagi Malaysia kita menetapkan suatu tarikh menggunakan kedua-dua kaedah ini.

Sebarang teguran untuk penambahbaikan amat dialukan :) terima kasih.



No comments:

Post a Comment